Dr M sahkan tulis surat kepada KDN, minta LTTE dikeluar dari senarai pengganas

0
3
mahathir

TUN Dr Mahathir Mohamad mengesahkan beliau mengutus surat bertarikh 12 Februari 2020 kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu Menteri Dalam Negeri, meminta mengeluarkan Harimau Pembebasan Tamil Eelam atau LTTE daripada senarai kumpulan pengganas.

Bekas Perdana Menteri itu bagaimanapun menyatakan itu tidak bermakna beliau menyokong LTTE.

“Kita tak perlu cari masalah, benda tak jadi masalah kenapa nak cari masalah, masalah itu berlaku (LTTE dalam senarai pengganas) kerana Sri Lanka, bukan kita.

“(Jadi) Tak payah la kita nak ambil tindakan macam itu, melainkan kalau dia (LTTE) ada buat benda tak baik di Malaysia. Mungkin dia ada kutip duit, tapi zaman dulu dia kutip duit juga,” katanya dalam satu sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

Baru-baru ini, surat oleh Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri yang dihantar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu tular di media sosial.

Antara isi kandungan surat berkenaan: “Saya berpendapat tidak ada sebab kita teruskan Tamil Tigers sebagai terrorist sedangkan Sri Lanka tidak anggap mereka terrorist”.

“Tindakan yang kita ambil menangkap mereka bukan kerana mereka ancam keselamatan negara kita. Tindakan kita pula begitu keras sehingga tidak boleh dijamin”.

LTTE ialah organisasi gerila yang berjuang menentang kerajaan Sri Lanka bagi mendapatkan tanah air bebas di utara dan timur pulau itu yang didiami majoriti penduduk berketurunan Tamil.

Ia diklasifikasikan sebagai pengganas oleh Amerika Syarikat (AS), Sri Lanka dan India, manakala Malaysia mula menyenaraikannya pada 2014.

Menjelaskan mengenai surat itu lagi, Dr Mahathir berkata, ia sama seperti pergerakan Hamas di Palestin yang ditakrif sebagai pengganas oleh AS.

“Dunia cakap Hamas pengganas, kalau pengganas takkan saya jumpa pemimpinnya Ismail Haniyeh, saya jemput dia, kita bincang tentang perjuangan. Dia kawan dengan saya, takkan saya panggil dia pengganas,” katanya.