Kenyataan media siap awal daripada mesyuarat MKT – Annuar

0
3

AHLI Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mempertahankan dakwaannya sebelum ini bahawa kenyataan media dibuat Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disiapkan lebih awal sebelum mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Annuar menerusi ciapan di laman Twitter berkata, mereka berpeluang mendengar apa yang diucapkan lebih 20 orang ahli MKT pada Rabu lalu.

“Semua bercakap penuh hemah dan kebijaksanaan yang tinggi. Ya benar, majoriti tidak bersetuju dengan tindakan melulu.

“Saya yakin dengan kebijaksanaan MKT. Sayangnya, kenyataan media sudah disiapkan lebih awal,” katanya dalam ciapan itu hari ini.

Beliau berkata sedemikian mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilaporkan bahawa majoriti ahli MKT Umno yang menghadiri mesyuarat secara maya tidak bersetuju dengan saranan Ahmad Zahid supaya mereka menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Rabu lalu, MKT Umno membuat keputusan menarik balik sokongan Muhyiddin berkuat kuasa serta-merta.

Ahmad Zahid berkata, keputusan itu dibuat susulan mandat sebulat suara perwakilan Persidangan Agung Umno (PAU) 2020 dan setelah kerajaan pimpinan Muhyiddin gagal memenuhi panduan utama digariskan sebagai syarat menyokong kerajaan PN.

Justeru, Umno mendesak Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan Perdana Menteri baharu dilantik untuk tempoh terhad. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here