3 suspek curi kereta cedera kenderaan rempuh lori

0
3

TIGA termasuk seorang wanita cedera selepas kereta curi dinaiki mereka terbabas dan melanggar lori di Jalan Kuantan-Maran berhampiran Kampung Paya Bungor di Kuantan semalam.

Kejadian berlaku ketika kesemua suspek melarikan diri daripada polis Peronda Lebuh Raya (EMPV) Bukit Aman, semalam.

Suspek berusia 32 hingga 21 tahun itu dipercayai bertindak demikian kerana kereta Proton Satria yang dinaiki mereka dilaporkan dicuri di Kuala Lumpur, lapor Bernama.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh berkata kejadian bermula di Plaza Tol Sri Jaya, Maran, apabila anggota EMPV yang membuat pemeriksaan melihat kereta dinaiki suspek memecut laju menuju Lebuhraya Pantai Timur 1 arah Kuala Lumpur.

“Kereta itu kemudian berpatah balik secara menentang arus dan masuk semula ke plaza tol tersebut sebelum keluar ke Jalan Kuantan-Maran menghala ke arah Kuantan.

“EMPV terlibat terus mengejar kereta suspek sebelum mereka terbabas dan melanggar sebuah lori dari arah bertentangan menyebabkan kenderaan itu berpusing sebelum turut melanggar kereta EMPV berkenaan,” katanya.

Kamarulzaman berkata semua suspek cedera di kepala dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan, untuk rawatan manakala dua anggota EMPV serta pemandu lori tidak cedera.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.