Najib mahu bersih nama di mahkamah, bukan gugur kerana sokong pemerintah

0
2

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengulangi pendiriannya untuk membersihkan namanya melalui proses pengadilan sedang dihadapinya kini.

Beliau berkata tidak perlu dirinya menjawab persoalan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang bertanya sama ada tujuannya mengikuti keputusan Umno untuk menarik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah untuk menggugurkan kesnya di mahkamah.

Malah, Ahli Parlimen Pekan itu berpendapat soalan bagaimana untuk menggugurkan siasatan kes rasuah
dengan menyokong kerajaan pemerintah sepatutnya ditujukan kepada empat individu yang gambarnya disertakan dalam hantaran di Facebooknya malam ini.

Mereka adalah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr Xavier Jayakumar.

Satu lagi gambar pemimpin dikaburkan Najib. Namun ia kelihatan seperti Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Dari awal-awal lagi semasa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tubuh, saya sudah nyatakan bahawa saya tidak mahu apa-apa jawatan kerajaan dan saya tidak mahu kes-kes saya digugurkan begitu sahaja seperti Lim Guan Eng (bekas Menteri Kewangan).

“Sebaliknya, saya mahu membersihkan sepenuhnya nama saya melalui proses perundangan yang adil,” katanya di Facebook.

Khamis lalu, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno memutuskan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan PN pimpinan Muhyiddin serta-merta.

Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu dibuat susulan mandat sebulat suara perwakilan PAU 2020 dan setelah kerajaan pimpinan Muhyiddin gagal memenuhi panduan utama digariskan sebagai syarat menyokong kerajaan PN.

Justeru Umno mendesak Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan Perdana Menteri baharu dilantik untuk tempoh terhad. – Malaysiapost

Keterangan gambar: Tangkap layar dari hantaran Najib di Facebooknya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here