PEJABAT Perdana Menteri (PMO) mengumumkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai menteri penyelaras bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN).
PMO dalam satu kenyataan berkata pelantikan itu diputuskan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Pelan Pemulihan Negara (JKKPPN) dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Menurutnya, Tengku Zafrul akan bertanggungjawab memantau pelaksanaan strategi dan bantuan, serta mengambil langkah intervensi bersesuaian dengan situasi pandemik Covid-19 yang sangat dinamik.
Mesyuarat secara maya itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadzilah Yusof.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Tengku Zafrul.
JKKPPN berfungsi memantau pelaksanaan strategi dan bantuan di bawah PPN selain memfokuskan kehadiran varian baharu Covid-19 yang lebih ganas.
Menurut kenyataan itu, kerajaan juga bersetuju memperkukuhkan kerjasama dengan pakar kesihatan, ekonomi dan sosial bagi mendapat maklum balas berkaitan pelbagai perkara antaranya strategi kesihatan awan.
Selain itu, kerajaan turut melantik agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Nasional (LAKSANA) di bawah Kementerian Kewangan sebagai Sekretariat JKKPPN untuk menyelaraskan usaha kementerian dan agensi berkaitan PPN.– Malaysiapost

