Hilang sokongan majoriti, Muhyiddin perlu letak jawatan

0
2
Muhyiddin Yassin

PERDANA Menteri hendaklah meletak jawatan dan mengundurkan diri daripada Kabinet kecuali jika beliau memohon Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen, menurut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Jawatankuasa Perundangan Pakatan Harapan (PH) menerusi kenyataan berkata ini kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin telah hilang majoriti anggota Parlimen selepas Umno menyatakan menarik sokongan terhadap beliau.

“Jikalau Tan Sri Muhyiddin gagal meletakkan jawatan, Yang di-Pertuan Agong boleh mengarahkan Perdana Menteri untuk mengadakan sidang Parlimen segera tanpa menunggu 26 Julai untuk mengemukakan usul percaya bagi membuktikan beliau masih mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen.

“Sekiranya gagal berbuat demikian, Yang di-Pertuan Agong berhak memecatnya dan melantik anggota Parlimen lain yang mendapat sokongan majoriti sebagai Perdana Menteri,” kata kenyataan itu hari ini.

Dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) kelmarin, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno memutuskan untuk menarik sokongan terhadap kerajaan PN pimpinan Muhyiddin serta-merta.

Justeru Umno mendesak Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan Perdana Menteri baharu dilantik untuk tempoh terhad.

Sementara itu, Jawatankuasa Perundangan PH memaklumkan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun silap apabila menyatakan setiap Ahli Parlimen Umno perlu menyatakan pendirian secara individu bahawa telah hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri, dan sehingga berlaku keadaan sedemikian Muhyiddin dan Kabinetnya masih berhak untuk menggunakan kuasa eksekutif mereka.

“Kenyataan Peguam Negara bahawa bukan hak Umno atau presidennya bagi menyatakan Ahli Parlimen Umno telah kehilangan kepercayaan terhadap Perdana Menteri telah gagal menjelaskan hakikat pelantikan Muhyiddin sebelum ini sebagai Perdana Menteri adalah berdasarkan representasi pemimpin parti kepada Yang di-Pertuan Agong, bukannya oleh Ahli Parlimen secara individu,” katanya.

Semalam, Idrus berkata dari segi undang-undang, Perdana Menteri dan jemaah menteri sedia ada masih kekal untuk terus menjalankan kuasa eksekutif persekutuan

Ia berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat hendaklah ditentukan oleh mereka sendiri, bukan kenyataan media parti atau pemimpin politik. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here