Undi di Parlimen: MP Umno, BN berpegang kepada kenyataan Presiden

0
1

AHLI Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) tetap berpegang kepada kenyataan Presiden Umno yang memberi kebebasan budi bicara kepada mereka untuk membuat keputusan ketika sesi pengundian di Parlimen.

Perkara itu ditegaskan Pengerusi Majlis Backbenchers Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan bercanggah dengan ketetapan Presiden parti.

Ia susulan kenyataan Ahmad semalam bahawa terdapat pertambahan ketetapan baharu dikenakan kepada ahli-ahli Parlimen Umno, daripada apa yang dinyatakan sebelumnya oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menerusi kenyataan itu, Ahmad mengingatkan Ahli Parlimen Umno untuk menjadikan keputusan parti sebagai panduan walaupun dibenar menggunakan budi bicara sendiri dalam pengundian di Parlimen nanti.

Sehubungan itu, Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau berkata ia tidak menggambarkan keputusan awal yang diumumkan Presiden Umno.

“Presiden Umno telah menyatakan bahawa ahli-ahli Parlimen Umno boleh menggunakan budi bicara mereka apabila berlaku sebarang pengundian ketika sidang Parlimen berlangsung dan terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada majoriti ahli-ahli Parlimen Umno dan BN serta seluruh ahli-ahli Parlimen PNBBC yang menyatakan pendirian untuk terus menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Diharapkan kita semua memberikan penekanan utama kepada usaha melawan Covid-19 dan mensejahterakan kehidupan rakyat daripada terus berpolitik dalam era pandemik ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here