Malapetaka menanti Umno jika Zahid dan Najib pergunakan parti

0
2

MALAPETAKA besar menanti Umno jika membenarkan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Presiden Datuk Seri Najib Razak menggunakan parti untuk melepaskan diri mereka daripada tuduhan kes mahkamah.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata mungkinkah ketegasan integriti Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertahankan kebebasan mahkamah menjadi sebab sebenar kenapa Ahmad Zahid dan Najib beriya-iya menjadikan Muhyiddin sebagai sasaran.

“Tetapi adakah Zahid dan Najib mempergunakan keikhlasan Umno untuk melepaskan diri mereka sendiri sahaja? Kalau benar, ini merupakan satu malapetaka besar.

“Saya terkejut membaca pendedahan Datuk Seri Nazri Aziz bahawa Zahid ada dendam peribadi terhadap Tan Sri Muhyiddin. Ini satu pendedahan yang besar.

“Mungkinkah Zahid dan Najib pernah minta Tan Sri Muhyiddin campur tangan urusan mahkamah tapi Tan Sri Muhyiddin tak mahu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Di sebalik keputusan Umno menarik sokongan terhadap kepimpinan Muhyiddin awal pagi semalam, Wan Saiful menimbulkan persoalan kemungkinan ada perjanjian antara kedua-dua tokoh Umno itu dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim jika jajaran baharu politik menjadi realiti.

“Saya cabar Anwar mendedahkan apa “deal” yang ditawarkan kepada Zahid dan Najib sehingga kedua-duanya sanggup mensabotaj perpaduan parti-parti Melayu untuk menggantikannya dengan jajaran baru.

“Saya sering katakan Umno ialah parti lama dengan ramai ahli akar umbi yang ikhlas memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Jika agenda kita ialah agama, bangsa dan negara, maka agenda kita sama,” katanya.

Kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri goyah susulan keputusan Umno memuktamadkan berakhirnya sokongan terhadapnya dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) kelmarin.

Namun, keabsahan Muhyiddin hanya dapat ditentukan pada sidang Parlimen menerusi undi percaya atau tidak percaya terhadap Perdana Menteri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here