Ismail Sabri tak boleh jadi PM sementara jika Muhyiddin letak jawatan

0
2

VETERAN DAP, Lim Kit Siang berkata kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan terbubar sekiranya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Kit Siang berkata demikian susulan kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mendakwa Datuk Seri Ismail Sabri yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Rabu lalu, boleh menjadi Perdana Menteri sementara sekiranya situasi itu berlaku.

“(Kenyataan itu) mengambil kira peranan penting Ismail dalam perang melawan pandemik Covid-19. Apa yang lebih mengejutkan, kenyataan itu dibuat tanpa mempedulikan fakta perlembagaan bahawa Kabinet akan terbubar selepas Perdana Menteri meletak jawatan.

“Hasilnya adalah kelumpuhan sebuah kerajaan kleptokratik di tengah-tengah negara sedang berperang melawan pandemik Covid-19.

“… enam bulan selepas Proklamasi Darurat dengan alasan untuk melawan pandemik Covid-19 diisytiharkan, enam minggu selepas pelaksanaan ‘sekatan penuh’ dan selepas sebulan pengumuman Pelan Pemulihan Negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kit Siang berkata, pemimpin tertinggi Umno memaklumkan penarikan sokongan itu adalah menyasarkan Muhyiddin, bukan kerajaan Perikatan Nasional (PN)secara keseluruhan.

“Meskipun Presiden Umno, (Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid Hamidi dalam kenyataan media lewat malam Rabu telah menyenaraikan tujuh kegagalan terbesar ‘kerajaan Muhyiddin’ yang menjadi sebagai asas kepada keputusan dibuat Majlis Tertinggi Umno,” katanya.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, keputusan Majlis Tertinggi Umno itu menyaksikan kerajaan Muhyiddin kini dilihat goyah tetapi masih tidak tumbang setakat semalam.

“Peguam Negara, Idrus Harun berkata, tidak jelas sama ada Muhyiddin telah hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen dan perkara ini harus ditentukan sendiri oleh Ahli Parlimen bukan menerusi kenyataan,” katanya.

Semalam media melaporkan, Mohamed Khaled mendakwa Ismail Sabri boleh mengambil alih jawatan perdana menteri sekiranya Muhyiddin meletakkan jawatan.

Mohamed Khaled berkata, sebagai Timbalan Perdana Menteri, Ismail boleh menjadi pemangku Perdana Menteri dan menjalankan tugas Muhyiddin.

“Timbalan perdana menteri boleh jadi pemangku perdana menteri. Saya secara peribadi tidak ada masalah (jika Ismail mengambil alih jawatan PM),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kit Siang berkata, Malaysia memerlukan sebuah strategi dan pendekatan baharu melibatkan ‘keseluruhan kerajaan’ dan ‘keseluruhan masyarakat’ jika mahu menang dalam perang melawan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, bahtera Malaysia mula bocor, dan semua rakyat Malaysia harus bekerja keras untuk memperbaiki kebocoran ini bagi mengelakkan bahtera ini daripada terus karam ke lautan dalam.

“Ini dapat dilihat menerusi angka kes jangkitan dan kematian akibat Covid-19 yang dicatatkan semalam sebanyak 135 kes kematian dicatatkan sementara sebanyak 8,878 kes positif Covid-19 dikesan, yang merupakan rekod kedua tertinggi pernah dicatatkan dalam tempoh 18 bulan lalu.

“Malaysia kini berada di kedudukan 34 antara negara-negara di dunia dengan jumlah kumulatif kes Covid-19 tertinggi. Setelah memintas Hungary hari ini, kita diramal memintas Jepun untuk berada di kedudukan ke-33, kurang lapan bulan dari sekarang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here