Warganet terharu Uncle Kentang beli selipar baharu untuk pesakit kanser

0
3

Nurul Huda Abhar

KEPRIHATINAN Kuan Chee Heng atau lebih mesra disapa Uncle Kentang membantu remaja yang menghidap penyakit kanser meruntun hati warganet.

Remaja yang dikenali sebagai Faiz Harun, dari Sungai Rotan Satu, Negeri Sembilan ingin mendapatkan rawatan di Institut Kanser Negara (IKN).

Menerusi satu hantaran video di laman Facebooknya, Uncle Kentang menyediakan ambulans bagi memudahkan urusan pergi dan balik remaja itu.

Namun begitu, semasa mengambil remaja tersebut di rumahnya, dia menyedari Faiz berjalan tidak seperti biasa dan menyangka remaja itu mengalami sakit kaki.

Rupa-rupanya Faiz berjalan sebegitu kerana selipar yang dipakai hampir putus memaksa remaja itu berjalan dengan berhati-hati kerana tidak mempunyai wang untuk membeli sepatu baharu.

“Hati aku rabak lihat anak muda sakit kanser pakai kasut koyak ini ke IKN.

“Dah lah sakit kanser dan kasut pula koyak. Sedihnya. Mak beliau uzur dan tidak sihat, beliau bertarung kanser seorang diri. Kita sediakan ambulans untuk ambil dan hantar ke IKN,” tulisnya.

Uncle Kentang terharu apabila mendapati selipar Faiz hampir putus

Pada masa sama, Faiz membalas tidak kisah mengenakan selipar itu kerana walaupun koyak, ia masih boleh digunakan lagi.

Turut dipaparkan dalam video berkenaan Uncle Kentang membawa Faiz makan dan membeli selipar baharu untuk remaja itu.

“Kami terus cari sliper (selipar) baru untuk Faiz, kami bagi Faiz pilih sendiri,” katanya.

Uncle Kentang membawa Faiz membeli selipar baharu

Hantaran video tersebut mendapat lebih 1,000 tanda suka dan warganet terharu dengan kesungguhan beliau membantu orang dalam kesusahan.

“Kami sayang uncle, teruskan perjuangan uncle. Saya hanya mampu berdoa agar urusan uncle dipermudahkan oleh Allah,” tulis Rashidah Yaakob.

“Sebaknya acik tengok awak. Semoga cepat sembuh dan Allah permudahkan segala urusanmu..aamiin. Thank you so much uncle. Semoga uncle sihat selalu dan dilimpahkan rezeki,” komen Mutiara Fadlin.

“Mulianya hati uncle. Terima kasih banyak-banyak,” kata Kalsom Othman.

“Pilu tengok video ni,” balas Rosnani Ahmad.

“MashaAllah. Bersyukurlah kita dengan apa yang kita ada. Bantulah kita kepada orang yang lebih susah. Kita tiada beza. hanya amalan menjadi bekalan. Tq uncle!,” tulis Emir Izzat. – Malaysiapost