UMNO tidak boleh dijadikan pak sanggup menadah kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, kegagalan kerajaan PN menangani pandemik Covid-19 sehingga menyebabkan kehidupan rakyat semakin merana, punca utama Umno menolak sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Katanya, tindakan Umno kerana mahu keadaan negara segera dipulihkan dan rakyat dapat kembali meneruskan kelangsungan hidup yang terjejas ekoran pandemik ini.
“Bagaimanapun secara halus ‘jenama’ Umno cuba dikambing hitamkan. Umno pula seolah-olah perlu dipertanggungjawabkan di sebalik kegagalan kerajaan PN.
“Bantuan diumumkan untuk rakyat walau tidak seberapa itu pun Umno yang terpaksa mendesak. Walau terpaksa menelan pelbagai tohmahan, kritikan dan diperlekeh.
“Maka Umno secara musyawarah mengambil keputusan yang cukup besar semalam. Kerana Umno tahu rakyat sudah tidak tertanggung lagi. Negara perlu dipulihkan segera,” katanya di Facebook, hari ini.
Ahli Parlimen Bagan Datuk menegaskan parti itu tidak rakus tamak merebut kuasa, sebaliknya meletakkan kepentingan rakyat dan negara meskipun terpaksa menongkah arus.
“Keadaan perlu diperbetulkan daripada yang teratas. Kapal belayar mengikut percaturan nakhoda. Perlu dilakukan “adjustment” supaya aspirasi rakyat dapat kembali ke landasan secepat mungkin.
“Justeru tidak benar sama sekali apa yang diputuskan Umno semalam kerana dahagakan kuasa. Jika dahagakan kuasa bukan begitu sifatnya. Lebih baik bergayut kepada kuasa sedia ada,” katanya.
Dalam sidang media selepas mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) awal pagi semalam, Ahmad Zahid berkata, Umno menarik sokongan terhadap kerajaan PN pimpinan Muhyiddin serta-merta.
Justeru, Umno mendesak Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan Perdana Menteri baharu dilantik untuk tempoh terhad. – Malaysiapost

