Annuar Musa enggan layan tuduhan ‘pentaksub’ PM

0
2

AHLI Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata beliau tidak mahu melayan tuduhan yang menggelarnya sebagai pentaksub Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, beliau lebih senang bekerja bersama seseorang yang terbukti lebih berjaya serta terus berkerja serta berusaha membantu rakyat.

Katanya juga, beliau tidak mahu bekerja bersama individu yang tidak habis bermain politik serta berhetorik serta mahu menjatuhkan orang lain untuk kepentingan dirinya sendiri.

“Apatah lagi mereka yang tidak konsisten prinsipnya, tidak benar kata katanya serta tidak jujur hatinya. Apa lagi untuk berkerja dengan mereka yang terbukti gagal mengawal diri, mulut dan hati mereka,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Tanpa menamakan individu berkenaan, Annuar berkata, tuduhan itu dibuat oleh seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dari selatan.

“Saya hanya mampu senyum membacanya. Watak penulis ini sudah di ketahui ramai. Tak perlu saya mengulasnya.

“Lagi pun bukan cara saya melayani watak yg tak perlu di layan. Saya tidak tahu dia pentaksub siapa mungkin orang lain tahu,” katanya.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu berkata, beliau akan terus bekerja untuk rakyat bagi membantu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Insyaallah saya akan terus berkerja utk rakyat membantu PM,TPM dan kerajaan setakat termampu bagi saya.Taksub? biar rakyat yang menilai dan biar rekod saya yang berbicara,” katanya.

Terdahulu, Ahli MKT Umno Datuk Mohd Puad Zarkashi mendakwa keputusan parti itu menolak kerajaan Perikatan Nasional (PN) berasaskan tujuh hujah kegagalan Muhyiddin.

“Seorang dua rakan peguam menyatakan, tarik balik sokongan kepada PM lebih mencederakan berbanding tarik sokongan kepada Kerajaan PN.

“Maka keputusan MT adalah tepat. Ia ancaman kepada Muhyiddin dan para pentaksub beliau seperti Tan Sri Annuar Musa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here