Tiger Snook ditahan lagi kerana bergaduh

0
3

BEKAS orang kanan kumpulan kongsi gelap ‘Double Seven’ (77) Klang, dikenali sebagai ‘Tiger Snook’, ditahan polis di Keramat Wangsa di Kuala Lumpur kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, Tiger Snook dan lima rakannya dilaporkan datang ke kawasan kejadian untuk memantau kerja pemasangan paip gentian (fibre optik) sebuah syarikat telekomunikasi.

Sumber berkata seperti dipetik BH, berdasarkan maklumat, Tiger Snook ditugaskan memantau sebarang situasi di lokasi kerja pemasangan itu selepas diberikan tanggungjawab sebagai penyelia keselamatan.

“Bagaimanapun berlaku kekecohan apabila salah seorang rakannya mencederakan seorang daripada kumpulan peniaga kedai makanan yang hendak berunding mengenai pemasangan paip gentian berkenaan.

“Akibat daripada itu beberapa penduduk dan peniaga berhampiran memaklumkan kejadian tersebut kepada polis,” katanya.

Video dan gambar insiden pergaduhan kejadian itu tular dalam laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Susulan maklumat berkenaan, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, diketuai Pegawai Risikan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah, Inspektor Abdul Hafiz Ab Hakim, bergegas ke lokasi dan memberkas kesemua suspek.

Difahamkan, tiga lagi individu yang ditahan dipercayai terdiri daripada kumpulan peniaga bagi membantu siasatan.

Kata sumber itu lagi, siasatan mendapati pergaduhan bukan membabitkan perbalahan antara kongsi gelap sebaliknya berkaitan cubaan melakukan rusuhan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Tiger Snook, 42, kali terakhir ditahan polis pada 2 September 2016, selepas terbabit dalam pergaduhan di sebuah pusat hiburan di daerah Dang Wangi, pada malam 31 Ogos tahun yang sama. – Malaysiapost