Pertemuan Zahid dengan pemimpin PKR cetus tanda tanya?

0
2

Aiman Hanif

DI tengah-tengah kemelut politik, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi didakwa mengadakan pertemuan dengan pemimpin PKR di sebuah lokasi tidak diketahui.

Pertemuan enam mata itu membabitkan Ahmad Zahid, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

Menurut maklumat yang diterima Malaysiapost, pertemuan dikatakan berlangsung selepas beliau mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Umno yang dianjurkan Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sejauh mana pertemuan itu membincangkan jajaran baharu politik seperti yang dlaungkan Ahmad Zahid sebelum ini.

Namun, apa yang pasti pertemuan itu membincangkan isu semasa politik tanah air .

Malaysiapost sedang berusaha mendapatkan respon Ahmad Zahid berhubung pertemuan itu.

Sementara itu, seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang enggan namanya didedahkan mengesahkan tentang pertemuan itu.

Katanya, ia adalah pertemuan biasa atas permintaan pemimpin PKR berkenaan bagi membincangkan situasi politik semasa.

“Ia sekadar pertemuan biasa, bagi saya tidak ada salahnya.

“Presiden Umno berhak untuk bertemu siapa saja dan saya kira itu bukanlah satu masalah atau perkara yang perlu dijadikan isu.

“Soal pendirian parti pastinya akan dibincangkan dalam MKT,” katanya ketika dihubungi.

Lewat malam tadi Umno mengumumkan keputusannya untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimana pun parti itu masih kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan menyerahkan kepada Ahli Parlimennya untuk menentukan sama ada ingin menarik sokongan ataupun tidak.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat MKT Umno selang beberapa jam selepas Ismail Sabri dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here