UPKO dijangka lawan Jeffrey di Tambunan

0
4

PERTUBUHAN Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) dijangka meletakkan calon mewakili gabungan Parti Warisan Sabah dan sekutunya (Warisan Plus) untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan.

Ia antara kerusi panas yang dijangka menjadi tumpuan kerana turut ditandingi Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, yang sudah menyuarakan hasrat mempertahankan kerusi itu.

Jeffrey yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya adalah antara pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang terawal menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri mengetuai kerajaan baharu pada akhir Februari lalu.

Presiden Upko, Datuk Seri Madius Tangau, berkata parti itu sudah bersedia untuk menggalas tugas merampas Tambunan daripada pembangkang jika ia diberi kepercayaan untuk meletakkan calon.

“Jika diizinkan Tuhan dan dipermudahkan,  Upko akan berdiri di Tambunan  pada pilihan raya kali ini.

“Semuanya sudah bersiap sedia, namun kita tetap bersama dengan apa juga keputusan yang akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Warisan Plus dijangka membuat pengumuman calon selewat-lewatnya dua atau tiga hari sebelum penamaan calon yang dijadualkan pada 12 September ini.
Tambunan adalah antara lapan kerusi DUN di bawah tiga Parlimen di kawasan pedalaman Sabah dengan tujuh lagi ialah Bingkor, Liawan, Sook, Tulid, Nabawan, Melalap dan Kemabong.

Upko sebelum ini pernah bertanding di kerusi DUN Nabawan dan Bingkor, manakala Tambunan adalah kubu kuat Parti Bersatu Sabah (PBS) ketika di bawah Barisan Nasional (BN) sebelum jatuh ke tangan Star pada 2018.

Madius berkata, Upko kini giat mengukuhkan jentera dan menaikkan semangat ahli parti serta penyokongnya bagi memastikan kemenangan berpihak kepada calon kerajaan pada PRN nanti.

“Semangat membara sudah ditunjukkan, baik penyokong mahupun bakal calon yang akan diketengahkan. 

“Terima kasih kepada kepemimpinan Warisan Tambunan dan PKR Tambunan Taskforce yang hadir sama menyemarakkan sesi ramah mesra pemimpin bersama rakyat. 

“Hidup rakyat, marilah kita suburkan demokrasi ini. Kita serahkan kepada rakyat untuk memilih dan memberi mandat,” katanya.

Upko dijangka mencalonkan bekas Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Datuk Dr Laurentius Ambu jika diberi kepercayaan mewakili Warisan Plus di Tambunan.

Setakat ini, Tambunan menjadi rebutan sekurang-kurangnya tiga calon, masing-masing mewakili Star, Upko dan seorang calon Bebas iaitu penyanyi tempatan yang popular dengan lagu ‘Anak Kampung’, Jimmy Palikat. – Malaysiapost