PRN Sabah: Umno Tuaran tuntut DUN Sulaman

0
3

UMNO Tuaran yang diketuai Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mahu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman dikembalikan kepada parti itu untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

Abdul Rahman menegaskan beliau dan ahli Umno bahagian itu tidak rela Sulaman yang menjadi kubu kuat parti berkenaan sejak 30 tahun lalu, diserahkan kepada parti lain.

Katanya, pemimpin dan ahli Umno Tuaran masih terluka apabila parti itu ditinggalkan oleh pemimpin terdahulu yang menyertai Bersatu dalam keadaan Umno sedang ‘sakit’.

Beliau berkata, keputusan untuk menuntut Sulaman diserah kembali kepada Umno juga dibuat selepas tiada sebarang isyarat daripada Bersatu untuk berbincang mengenai kedudukan kerusi berkenaan.

“Selagi wisel belum ditiup dan memandangkan tiada yang datang ‘melamar’ kita, Umno masih berminat dan kita sedia menawarkan diri bertanding di Sulaman.

“Ini kerana sehingga sekarang tiada sebarang isyarat, tiada orang yang mesej saya dan tiada juga orang tengah datang jumpa saya untuk bincang. Kalau tidak minat biar serah kepada kita untuk bertanding,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam satu majlis perjumpaan bersama ahli Umno Tuaran di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tambalang di Tuaran, malam tadi.

DUN Sulaman ketika ini disandang Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor. Beliau menjadi wakil rakyat di kerusi berkenaan selama enam penggal sejak 1990.

Hajiji sebelum ini adalah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah dan Ketua Umno Tuaran sebelum mengetuai 14 wakil rakyat Umno Sabah keluar parti pada Disember 2018 dan menyertai Bersatu secara rasmi ketika kemasukan parti itu ke Sabah pada April tahun lalu.

Abdul Rahman berkata, beliau bimbang ahli Umno Tuaran tidak dapat bekerjasama atau menumpukan usaha membantu calon memenangi DUN Sulaman jika calon yang diturunkan bukan daripada Umno.

“Saya risau ramai jentera kita tidak turun berkempen selama dua minggu tempoh kempen kerana ‘sakit perut’ jika bukan calon Umno yang bertanding. Saya faham mungkin ada yang tidak dapat menerima terpaksa berkempen untuk parti lain.

“Kalau mereka setuju menggunakan lambang dacing, mungkin mudah sikit kita bantu tetapi mereka tidak setuju. Bayangkan Umno terpaksa berkempen meminta orang undi lambang parti lain, sakit, pedih rasanya,” katanya.

Katanya, Umno mampu memenangi kerusi DUN Sulaman dengan bergaya jika ia meletakkan calon berdasarkan sokongan yang masih kuat terhadap parti itu.

Beliau berkata, cabaran dihadapi Umno itu bukan saja dialami di Tuaran, malah di semua kawasan di seluruh negeri.
Tegasnya, jika Bersatu yang meletakkan calon, beliau mahu ada jaminan yang pemimpin Umno Tuaran termasuk di peringkat cawangan tidak dipinggirkan apabila calon parti itu menang dan berjaya membentuk kerajaan.

Beliau mahu sebolehnya Umno diberikan kerusi Sulaman selain kembali menjadi tulang belakang di Sabah apabila berjaya membentuk kerajaan.

“Pertama, kita perlu pastikan Umno dominan dalam PRN ini, kedua Umno menjadi tulang belakang Perikatan Nasional (PN) dengan Ketua Menteri juga daripada Umno dan ketiga Sulaman ditandingi Umno,” katanya. – Malaysiapost