Lelaki ditahan seludup ketum, rokok ke PKRC

0
2

SEORANG lelaki ditahan selepas didapati menyeludup rokok dan air ketum dengan melontar barang terlarang itu ke dalam kawasan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Suspek berusia 33 tahun yang juga bekas pesakit Covid-19 di PKRC berkenaan dikatakan mahu membekalkan bahan terlarang itu kepada pesakit yang menerima rawatan di pusat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sepang Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, suspek bagaimanapun diberkas polis Ahad lalu.

Beliau berkata, ketika kejadian suspek dikesan bertindak melontar bekalan air ketum dan rokok itu kepada seseorang di lokasi berhampiran kawad berduri di Dewan A PKRC MAEPS.

“Tindakan itu disedari anggota polis yang sedang bertugas di pos kawalan sebelum menyoal siasat suspek,” katanya dipetik Harian Metro.

Wan Kamarul berkata, helah suspek yang mendakwa mencampak bungkusan plastik hitam berisi buah epal akhirnya terbongkar apabila seorang lelaki yang juga kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berada di lokasi itu memberitahu pihak polis.

“Polis kemudiannya melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan lori TNB dan menjumpai 10 kotak rokok di atas rumput serta bungkusan air dipercayai air ketum, sebelum merampas semua barang terlarang itu,” katanya.

Tambah beliau, suspek kini ditahan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here