ATM zahir takziah kepada keluarga bekas Panglima ATM

0
2

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Ghazali Che Mat yang meninggal dunia, hari ini.

Markas ATM Bahagian Hal Ehwal Awam dalam satu kenyataan memaklumkan, mantan Panglima ATM ke-8 itu telah kembali ke rahmatullah petang tadi di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan pada usia 90 tahun.

“Jenazah Allahyarham akan disempurnakan di Masjid Khalid Al Walid, Kementerian Pertahanan dengan pematuhan ketetapan SOP (prosedur operasi standard) PKP (perintah kawalan pergerakan) terkini, pada pagi esok.

“Allahyarham akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Bukit Permai, Taman Perumahan AU untuk dikebumikan setelah selesai solat jenazah di masjid berkenaan dengan kehadiran ahli keluarga terdekat sahaja bagi mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan seluruh warga ATM menzahirkan dukacita di atas pemergian Allahyarham serta menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarganya.

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman,” menurut kenyataan itu.

Mohd Ghazali pernah dilantik sebagai Panglima Tentera Darat bagi tempoh setahun dari 1984 hingga 1985.

Beliau kemudian dilantik sebagai Panglima ATM dari 1985 hingga 1987.

Selepas bersara, beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah sebuah syarikat di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here