PELANTIKAN Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan adalah pengiktirafan kepada Umno yang berperanan besar dalam Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata pelantikan mereka juga membuka pintu kepada peranan Umno yang lebih besar dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ini kerana, kata bekas Setiausaha Agung Umno itu, kedua-dua pemimpin berupaya menggerakkan seluruh kekuatan Umno untuk terus berjuang membela rakyat serta menjayakan proses pemulihan negara.
“Saya percaya pelantikan ini disambut baik semua lapisan rakyat, khususnya ahli Umno seluruh negara dan inilah peluang terbaik Umno terus berbakti kepada rakyat.
“Selain merapatkan saf di belakang kedua-dua mereka untuk menyatupadukan ahli serta orang Melayu, Bumiputera serta rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Annuar berkata pelantikan Ismail Sabri dan Hishammuddin juga adalah satu langkah memperkasakan lagi Kabinet di saat yang mencabar ini.
“Pengalaman mereka boleh membantu Perdana Menteri memantapkan lagi jentera kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

