Aiman Hanif
MAMPUKAH Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyekat pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri seperti mana diumumkan hari ini.
Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beberapa jam sebelum Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno bermesyuarat.
MT Umno yang bermesyuarat malam ini akan menentukan sama ada akan menerima ataupun tidak pelantikan Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Bagaimanapun Malaysiapost difahamkan Ahmad Zahid telah merestui Ismail Sabri untuk memegang jawatan berkenaan.
Menurut sumber Umno, satu pertemuan berlangsung antara Ismail Sabri dan Ahmad Zahid petang ini.
“Pertemuan itu positif, Ahmad Zahid merestui, tetapi beberapa syarat telah dikenakan terhadap Perikatan Nasional (PN).
“Presiden dijangkan akan mengumumkan dalam mesyuarat MT Umno malam ini,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya Ahmad Zahid sukar untuk memujuk ahli MT menerima keputusannya bagi membawa Umno meninggalkan kerajaan PN.
“Hanya tinggal beberapa kerat saja lagi yang menyokong keputusan presiden, lebih 30 ahli MT tak bersetuju Umno meninggalkan PN,” katanya lagi.
Terdahulu Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengumumkan pelantikan Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri dengan mengekalkan portfolionya selaku Menteri Pertahanan.
Manakala Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilantik sebagai Menteri Kanan Keselamatan.
Sebelum ini MT Umno membuat ketetapan menolak jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Parti komponen BN, MCA menyokong pelantikan Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Begitu juga PAS dan Parti Bersatu Sabah (PBS) turut menyambut baik keputusan berkenaan.- Malaysiapost

