NGO lapor polis terhadap 3 pemimpin DAP

0
2

GABUNGAN Pertubuhan Melayu Islam Raub dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap pemimpin DAP susulan tindakan mereka didakwa biadap terhadap anggota polis.

Ia susulan isu penguatkuasakan undang-undang ke atas penerokaan tanah haram melibatkan pekebun durian di Hutan Simpang Batu Talam, Raub, beberapa hari lalu.

Penyelaras Gabungan Pertubuhan Melayu Islam Raub, Fadzli Mohamad Kamal berkata laporan polis dibuat kerana pemimpin DAP didakwa menghina, melakukan provokasi serta menghalang tugas penjawat awam.

Sehubungan itu, katanya, sikap biadap tersebut perlu dihentikan dan dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

Laporan tersebut dibuat terhadap beberapa pemimpin DAP khususnya Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack serta Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Raja Puji dan Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan, Ronnie Liu.

“Kami bimbang tujuan rentas negeri atas tujuan apa? Adakah kerana urusan rasmi tetapi nampaknya beliau (Ronnie Liu) seperti melakukan kegiatan politik di sini.

“Ronnie merentas dari Selangor ke Raub dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) untuk menghasut orang Raub dalam isu penguatkuasaan ke atas penerokaan tanah secara haram untuk penanaman musang king di Hutan Simpan Batu Talam,” katanya.

Antara NGO yang turut membuat laporan itu ialah Ummah Raub, Persatuan Melayu Islam Beraja Malaysia, Semboyan Raub, Majlis Belia Felda Wilayah Mempaga serta beberapa NGO persilatan.

Kelmarin, Polis Pahang membuka dua kertas siasatan terhadap Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan, Ronnie Liu susulan kekecohan di pekarangan Mahkamah Raub semalam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit PPPPPB 2021.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata Ronnie dibenarkan rentas negeri kerana merupakan ahli politik namun tetap bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Jadi kita buka juga siasatan dan (siasatan) sedang giat dilakukan,” katanya. – Malaysipost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here