Nilam Oshman
“SAYA termenung jauh bila memikirkan soal pendapatan,” kata peniaga Nasi Lemak Bujang, Mohd Nor Abdullah atau lebih dikenali Dek Mat.
Dek Mat meluahkan demikian kepada Malaysiapost mengenai nasibnya ketika ini yang tidak dapat berniaga susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau lockdown sejak bulan lalu.
Peniaga istimewa yang cacat kedua-dua tangan itu berkata, beliau tidak berniaga kerana pembekal tidak dapat menghantar nasi lemak susulan sekatan pergerakan.
“Sekarang ni mana ada berniaga, masalah kerana orang nasi lemak tak nak buat sebab susah nak datang sini (hantar ke rumahnya), ada sekatan jalan.. mereka dari Taman Connaught.
“Nak hantar nasi lemak tu pada saya, polis suruh patah balik. Jadi bab pendapatan itu, buat saya termenung jauh kerana tak dapat berniaga,” katanya.
Peniaga cekal berusia 29 tahun itu bagaimanapun bersyukur kerana pihak sudi membantu dengan menghulurkan bantuan barangan keperluan asas seperti beras, minyak dan makanan dalam tin.
“Ada juga yang beri wang poket kepada saya. Alhamdulillah,” katanya lagi.
Dek Mat juga berkata, susulan sumbangan diterimanya daripada pelbagai pihak, dia turut berkongsi rezeki tersebut kepada jiran-jiran yang turut berdepan nasib sama.
Katanya, dia faham keadaan orang yang buntu dan tertekan kerana tidak dapat mencari pendapatan seperti dirinya, jadi saling tolong-menolong dalam keadaan terdesak dapat meringankan beban masing-masing.
“Saya terima banyak bantuan barangan keperluan, lagipun saya duduk seorang jadi apa salahnya berkongsi rezeki ini dengan orang senasib saya yang hilang punca pendapatan,” katanya.
Beliau juga berharap situasi pandemik Covid-19 di Lembah Klang khususnya akan bertambah baik secepat mungkin agar golongan peniaga sepertinya dapat kembali keluar mencari rezeki.
Sebelum ini, Dek Mat pernah tular di media sosial susulan kecekalannya berniaga walaupun tidak sempurna seperti insan lain.
Kisah kecekalan peniaga istimewa itu menjadi inspirasi kepada orang ramai, malah mendapat perhatian Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa; bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi. – Malaysiapost

