Kawalan PGA lancarkan operasi musnah kebun durian haram

0
1
RAUB 6 JULAI 2021- Anggota PGA mengawal ladang Durian Musang King yang menjadi isu antara Kerajaan negeri dan pekebun sejak kebelakangan ini. GAMBAR : ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

KEHADIRAN anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) sejak semalam memberi kesan besar apabila operasi memusnahkan durian Musang King di Hutan Simpan Batu Talam di Raub, berjalan dengan lancar.

Difahamkan 30 anggota PGA mula tiba semalam sebelum 30 anggota lagi tiba hari ini bagi mengawal dan menjaga keselamatan petugas dalam operasi yang bermula 3 Julai dan dijangka berakhir 2 Ogos depan.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Nor Azirim Ahmad berkata kelancaran operasi dan tambahan lebih 30 kakitangan Jabatan Perhutanan dalam operasi itu diharap dapat menyelesaikan operasi lebih cepat berbanding tempoh sebulan ditetapkan.

“Semua petugas lebih bersemangat selepas kehadiran PGA dan saya berharap operasi berjalan lancar tanpa sebarang gangguan mana-mana pihak dan provokasi pihak tidak bertanggungjawab tidak berulang lagi.

“Hari ini kita menambah lebih 30 kakitangan JPNP menjadikan keseluruhan kira-kira 65 kakitangan yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan penebang,” katanya memetik laporan Kosmo Online.

Operasi memusnahkan pokok durian Musang King di kawasan seluas 101 hektar itu sebelum ini mendapat provokasi melampau dipercayai daripada pekebun haram termasuk menghalang laluan dengan kenderaan dan merosakkan jambatan.

Susulan itu dalam memastikan keselamatan petugas, pasukan PGA digerakkan semalam bagi mengawal dan menjaga keselamatan petugas yang melakukan operasi penebangan di kawasan hutan simpan itu.

Menurut Nor Azirim, polis dan pasukan PGA mengadakan dua sekatan jalan raya (SJR) 24 jam di laluan masuk utama ke kawasan kebun durian terbabit sejak semalam.

Katanya, kawalan juga dilakukan di kawasan jambatan simen yang dirosakkan sebelum ini selain anggota PGA melakukan kawalan di semua kawasan aktiviti penebangan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here