MENTERI Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menafikan beliau meminta Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun untuk mempertimbangkan semula persidangan Parlimen secara hibrid.
Menurutnya, penyebaran berita berunsur fitnah dengan tujuan parodi atau sekadar satira semakin membarah di laman media sosial, ketika ini.
Katanya, dunia kini berada dalam situasi sebaran informasi terlampau banyak sehingga menimbukan ‘keterlaluan maklumat’
“Dunia yang terlalu banyak maklumat telah menimbulkan “information overload” sehingga ramai penerima mempercayai “lawak” fitnah ini. Bahkan ada juga yang menjadi sebahagian daripada penyebarnya.
“Elakkan diri kita daripada terjerumus dalam perangkap fitnah sebegini,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Pada masa sama, Mohd Radzi memuat naik tangkap layar ciapan @theborneoghost yang memaparkan kononnya beliau mengeluarkan kenyataan tersebut.
Menerusi ciapan itu, beliau didakwa mengeluarkan kenyataan tidak semua Ahli Parlimen mempunyai peranti dan rangkaian internet yang baik untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Berikutan itu, Kementerian Kewangan perlu menyediakan dana kepada Ahli Parlimen untuk pembelian komputer riba.
Mesyuarat khas Parlimen dijadual diadakan lima hari mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos ini bagi Dewan Rakyat manakala Dewan Negara selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Ogos ini. – Malaysiapost

