HTAR ‘tenat’, katil pesakit Covid-19 melimpah di laluan Jabatan Kecemasan

0
2

KEADAAN di Jabatan kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, dilaporkan semakin meruncing untuk menampung pertambahan kapasiti pesakit yang mahu mendapatkan rawatan.

Sejak beberapa hari lalu juga, tular video dan gambar memaparkan pesakit di hospital berkenaan terpaksa dirawat di lantai termasuk ada yang menunggu lama untuk mendapatkan rawatan berikutan keadaan wad yang sesak .

Hari ini, seorang pemilk akaun Twitter @paultantk dalam ciapannya memaklumkan keadaan kini lebih ‘tenat’ apabila pesakit bergejala Covid-19 yang mahu mendapatkan rawatan di wad terpaksa menunggu lama di Jabatan Kecemasan hospital itu.

Dalam gambar yang disertakan dalam ciapannya itu juga, menyaksikan katil pesakit terpaksa diletakkan dan disusun di luar hospital dipercayai di laluan jabatan kecemasan sementara menunggu kekosongan tempat untuk dimasukkan ke dalam wad.

“Ward sudah penuh. Pesakit di ED tunggu nak masuk ward sampai melimpah ke luar sudah.

“Dan ini semua pesakit bergejala kena masuk hospital, kalau stage 1 dan 2 masuk Maeps bukan ward. Pesakit ini diorang semua muda-muda. Varian Delta ni memang betul-betul gila,” tulisnya.

Walaupun tidak menyatakan Jabatan kecemasan hospital dimaksudkan, namun pengguna Twitter lain mengesahkan ia berlaku di HTAR.

Terdahulu, media melaporkan Jabatan kecemasan di hospital-hospital di Lembah Klang berdepan tekanan hebat dengan wad Covid-19 kini menampung pesakit melangkaui kapasitinya.

Malah, seorang kakitangan kesihatan memuat naik video di media sosial yang memaparkan pesakit dalam keadaan tenat menunggu katil dan kerusi roda di jabatan kecemasan di HTAR.

Difahamkan, hospital tersebut memiliki 280 katil di wad Covid-19 tetapi ramai sedang menunggu untuk dimasukkan.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pesakit yang tidak dapat ditempatkan di wad itu kini terpaksa diletakkan di Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital sekitar Lembah Klang.

Katanya, nasib yang sama turut menimpa pesakit Covid-19 dalam kategori 3 dan 4 yang memerlukan bantuan oksigen dan mereka hanya dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

“Jumlah pesakit Covid-19 termasuk yang disyaki atau berkemungkinan dijangkiti virus berkenaan masih tinggi dan tidak menunjukan penurunan khususnya di kawasan Lembah Klang,” katanya.

Sementara itu, Dr Arisman MD menerusi Facebooknya berkata, beliau menggesa KKM menambah kakitangan kesihatan di HTAR bagi menampung pertambahan jumlah pesakit.

Dr Arisman berkata, bantuan tenaga kerja perubatan dari negeri-negeri luar yang kurang kes Covid-19 sangat diperlukan ketika ini.

“Seperti tahun lepas KKM mengerahkan tenaga kesihatan dari Semenanjung ke negeri Sabah untuk membantu. Tolonglah,” tulisnya.

Katanya, beliau menerima mesej memaklumkan pesakit-pesakit Covid-19 terpaksa diletakkan di luar jabatan kecemasan HTAR kerana wad penuh.

“Mesej yang baru saya terima. Pesakit-pesakit Covid-19 sudah mula diletakkan di luar jabatan kecemasan HTAR klang kerana sudah terlalu penuh.

“Bagaimana nak bantu mereka? Total lockdown kita bulan Jun kelmarin adalah sia-sia dan gagal. Gagal,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semakin banyak mesej gambar dan video keadaan ‘tenat’ di jabatan kecemasan di setiap hospital negara ini.

“Sesak teruk. Sedih sangat… sakit hati saya mungkin lebih sakit dan tajam pedihnya pada bahu yang memikulnya lagi. Terima kasih frontliner,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here