3 bulan gaji tak bayar, pekerja kilang Sipitang kibar bendera putih

0
3

KEBELAKANGAN ini ramai mengibarkan bendera putih untuk mendapatkan bantuan setelah kehabisan bekalan makanan

Namun, lain pula ceritanya di Sipitang, Sabah apabila sekumpulan pekerja mengibarkan bendera putih bagi menuntut gaji mereka yang tidak dibayar oleh majikan.

Difahamkan seramai 1,182 pekerja kilang di sebuah syarikat industri perkayuan di Sipitang yang kini dalam keadaan tertekan dan terhimpit, merayu majikan termasuk kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung status pembayaran gaji mereka yang tidak diterima sejak tiga bulan lalu.

“Kami amat tertekan terutama dari segi kewangan. Walaupun ada bantuan disalurkan seperti bakul makanan tetapi kami juga memerlukan wang tunai untuk membeli keperluan lain.

“Jika gaji dibayar, sekurang-kurangnya dapatlah kami beli atau tambah apa yang diperlukan seperti lampin dan susu untuk anak-anak.

“Justeru, disebabkan tidak menerima apa-apa penjelasan ditambah pula sebelum ini kawasan kami dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menyebabkan kami mula menaikkan bendera putih pada awal bulan ini,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Menurutnya, kesemua pekerja yang terjejas dengan keadaan ini terpaksa mengangkat bendera putih demi meneruskan kehidupan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pekerja-Pekerja Industri Perkayuan Sabah, Engrit Liaw berkata, hampir 2,000 orang membabitkan keluarga pekerja syarikat itu terjejas akibat isu tiada gaji sepanjang tempoh tiga bulan.

“Kami sudah berusaha berhabis-habisan untuk dapatkan penjelasan daripada kerajaan negeri termasuk ketua menteri dan tiga timbalannya mengenai masalah ini.

“Namun sehingga kini tiada yang datang menjelaskan kepada pekerja berhubung status tiga bulan gaji terbabit menyebabkan pekerja dalam dilema dan akhirnya mereka angkat bendera putih,” katanya.

Beliau berkata, pekerja syarikat itu semakin putus harapan apabila setiap hujung bulan mereka memeriksa akaun bank namun tiada sebarang pembayaran dibuat.

“Biasanya pada 29 atau 30 hari bulan mereka akan menerima gaji dan apabila tiba harinya, mereka sanggup beratur panjang di bank tetapi akhirnya tiada gaji yang masuk.

“Tidak ada makluman, itu yang menjadi kemarahan pekerja sehingga kami terpaksa menghantar surat kepada pelbagai pihak untuk mendapat perhatian berhubung isu ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here