PKPD: Polis minta penduduk beri kerjasama sepenuhnya – KPN

0
2

Nurul Huda Abhar

POLIS sedaya upaya berusaha meringankan kesulitan penduduk berada dalam kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 19 lokaliti di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, justeru itu adalah sangat mustahak bagi penduduk berjumlah hampir 58,000 di 19 lokaliti berkenaan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

“Ini bagi memastikan tindakan atau perbuatan mereka (penduduk) tidak lagi menambah kadar jangkitan di kawasan lain.

“Kita sedia maklum kadar jangkitan di Kuala Lumpur dan Selangor masih tidak menunjukkan tanda tanda beransur reda,” katanya dalam sidang media selepas sesi lawatan kerja di lokaliti PKPD, hari ini.

Acryl Sani berkata, polis akan terus memantau prosedur operasi standard (SOP) termasuk pergerakan keluar masuk di lokaliti PKPD.

Katanya, mengikut SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pergerakkan dalam lokaliti PKPD membabitkan seorang individu sahaja yang dibenarkan keluar untuk satu masa.

“Seperti sedia maklum apabila sesuatu kawasan diisytiharkan PKPD memang pergerakan diketatkan mengikut SOP MKN hanya seorang individu sahaja yang dibenarkan keluar untuk satu-satu masa bagi membeli barang keperluan.

“Ia juga bagi mereka yang perlu mendapatkan rawatan perubatan ataupun membuat temu janji menerima suntikan vaksin,” ujarnya.

Pada masa sama, Acryl Sani berkata, tinjuan yang dibuat di lokaliti PKPD bertujuan untuk melihat dan mendengar perkara-perkara atau isu yang berbangkit sama ada daripada pihak berkuasa dan juga penduduk.

“Input yang saya perolehi ini dapat dibawa ke pihak atasan iaitu Sidang Khas MKN yang diadakan setiap minggu,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here