Langgar SOP: Tok Pa selesai rakam keterangan

0
2

POLIS selesai mengambil keterangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed atas dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, polis telah selesai merakam percakapan Ahli Parlimen Jeli itu minggu lalu.

“Untuk makluman, polis yang siasat kes ini sudah mengambil kenyataan percakapan daripada YB Menteri (Mustapa Mohamed).. selesai pada minggu lepas.

“Kini polis dalam proses untuk mengemaskini kertas siasatan berkenaan untuk dilengkapkan sepenuhnya,”katanya seperti dilapor MalaysiaGazette .

Abd Jalil bagaimanapun tidak memperincikan butiran tarikh dan masa keterangan dirakam daripada pemimpin Bersatu itu.

Beliau berkata, kertas siasatan yang sedang dilengkapkan itu akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

Katanya, Mustapa dan pemilik Cafe serta beberapa individu lain akan dipanggil untuk dirakam keterangan.

Sebelum ini, gambar Mustapa bersama beberapa individu yang sedang menjamu selera di sebuah kedai makan di Jeli tular dalam media sosial.

Mustapa mengaku berada di restoran Alfath Café, Kampung Kalai, Jeli pada 26 Jun lalu dan memohon maaf atas perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk tindakan sewajarnya.

Dalam perkembangan sama, Abd Jalil turut mengesahkan polis telah menetapkan masa untuk merakam keterangan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang didakwa melanggar SOP PKP dengan menyertai kenduri durian di sebuah kebun di Batu Pahat.

Katanya, kertas siasatan kes itu telah dibuka oleh Polis Daerah Batu Pahat dan Ahli Parlimen Batu Pahat itu akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

“Kes ini pun kertas siasatan sudah dibuka dan sedang disiasat..kita sudah aturkan untuk mengambil kenyataan daripada YB ini (Rashid Hasnon),” katanya.

Ditanya sama ada pemimpin berkenaan akan dipanggil dalam minggu ini untuk merekodkan kenyataannya, Abd Jalil bagaimanapun menjelaskan pihaknya akan cuba menyelesaikan proses itu secepat mungkin. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/06/27/tok-pa-mengaku-langgar-sop-makan-dalam-kafe-ketika-pkp/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here