PKPD Amanjaya: Hampir 13,000 disaring

0
3

SERAMAI 12,870 orang telah disaring di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran dari tiga zon di Amanjaya, Kedah iaitu Zon Kenanga, Zon Mawar dan Zon Melur.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu satu kes dikesan positif Covid-19, 12,687 individu adalah negatif dan 182 individu masih menunggu keputusan.

“Syabas diucapkan kepada penduduk setempat yang memberi kerjasama baik kepada pasukan dari pelbagai agensi di lapangan. Namun begitu, dianggarkan seramai 9,490 orang masih belum menjalani saringan.

“Meskipun jumlah anggaran ini masih dalam semakan, namun pihak KKM tetap mengambil kesempatan ini untuk menyeru dan merayu mereka yang belum menjalani saringan untuk segera tampil ke pusat-pusat saringan yang disediakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat satu kes baharu dilaporkan dalam kluster MV Glen, iaitu isteri kepada kes positif kluster yang dilaporkan pada 30 Ogos 2020 (kes ke-9332) yang dikenal pasti susulan aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat.

Sehingga ini, katanya, seramai 58 orang telah disaring dengan tiga kes dikesan positif, 16 individu negatif dan 39 menunggu keputusan.

“Saringan sign-on dan sign-off penting kerana ia salah satu langkah bagi memantau kawalan sempadan negara untuk mengelak jangkitan Covid-19 dari luar negara.

“KKM bersama Jabatan Laut Malaysia telah mengambil pelbagai langkah bagi memantau dan memperketat sempadan negara di perairan Malaysia.

“Pelbagai Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan telah dibangunkan bagi golongan pelaut yang memasuki Malaysia melalui Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).

“Ini termasuk proses pertukaran anak kapal bermula dari sign-on ke kapal sehingga sign-off dari kapal dan proses kuarantin wajib di stesen kuarantin diwartakan kerajaan. Proses ini akan terus dipantau dan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya,” katanya.