Menteri Kesihatan sahkan 10 individu di HKL positif Covid-19

0
2

MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengesahkan seramai sepuluh individu di wad psikiatri lelaki di Hospital Kuala Lumpur (HKL), positif Covid-19.

Menurut Adham, susulan daripada itu, wad psikiatri lelaki itu “dibekukan”, di mana pesakit sedia ada kekal ditempatkan di wad terjejas tersebut.

Katanya, HKL tidak akan menutup mana-mana wad walaupun kes Covid-19 dikesan kawasan berkenaan.

“Biasanya, kita hanya akan membekukan wad atau bahagian yang terjejas untuk mengekang wabak tersebut,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Jelas Adham berkaitan istilah “membekukan” yang digunakan bermaksud pesakit sedia ada kekal berada di kawasan yang sama dan wad berkenaan tidak akan menerima pesakit baru.

Ia bertujuan memantau pesakit di wad berkenaan dan mereka yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang telah dijangkiti.

Dalam masa sama, Adham turut memaklumkan bahawa HKL akan beroperasi seperti biasa.

“Pesakit baru akan tinggal di wad lain yang tidak terjejas,” katanya.

Terdahulu, menerusi laporan media, wad psikiatri lelaki terbabit ditutup pada hari Ahad selepas lapan kes dikesan.

Sejumlah kakitangan di jabatan psikiatri itu dikenalpasti sebagai kontak rapat dan dipercayai telah dijangkiti oleh seorang pesakit yang dimasukkan ke wad tersebut pada 1 Julai. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here