KERAJAAN Sarawak kenakan semula kuarantin wajib mulai semalam kepada individu dari luar negara yang memasuki negeri berkenaan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua ketibaan dari luar negara ke pintu masuk Sarawak diwajibkan melalui tempoh kuarantin wajib selama 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan Kerajaan Negeri Sarawak mulai 1 september 2020.
“Penumpang-penumpang berkenaan perlu menjalani ujian saringan pada hari kedua dan hari ke-10.
“Kos kuarantin bagi rakyat Sarawak akan ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri manakala bukan rakyat Sarawak, kos kuarantin atas tanggungan sendiri.
“Bagi ketibaan dalam negeri ke pintu masuk negeri Sarawak, warganegara Malaysia dibenarkan masuk tanpa perlu menjalani kuarantin wajib,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, bagaimanapun mereka perlu mengisi borang deklarasi kesihatan secara atas talian (e-HDF) terlebih dahulu menerusi laman sesawang https://sarawakdisastermc.com/.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan seramai 21,217 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai sehingga semalam.
“Kesemua ditempatkan di 70 Hotel dan empat Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.
“Daripada jumlah itu, seramai 8,801 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 66 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan serta 12,350 individu telah dibenarkan pulang,” katanya.
Ismail berkata, semua mereka pulang dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong dan India.
Negara lain termasuk UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom , Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat.-Malaysiapost

