SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah menyekat bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng daripada melakukan perjalanan ke mana-mana negeri di Malaysia.
Ketua Pesuruhjayanya Datuk Seri Azam Baki berkata mungkin berlaku kekhilafan ketika Guan Eng tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu semalam sehingga menyebabkan Setiausaha Agung DAP tersebut ditahan kira-kira setengah jam.
“Itu mungkin berlaku sedikit kekhilafan kerana SPRM hanya membuat permohonan untuk menyekat Lim dari ke luar negara sahaja.
“Mungkin ada kekeliruan sedikit yang timbul di situ tapi saya tegaskan di sini, SPRM tidak pernah menyekat beliau untuk masuk ke Sabah,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Sebelum ini, Guan Eng menerusi hantaran di Facebook pagi tadi mendakwa beliau dibawa ke Pejabat Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) selepas tiba dari Kuala Lumpur malam tadi kerana SPRM meletakkan halangan terhadapnya. -Malaysiapost

