TINDAKAN tegas perlu dikenakan terhadap 111 peneroka durian Musang King kerana melanggar Akta Perhutanan Negara, kata Naib Presiden Putra, Datuk Hamidah Othman.
Beliau berkata, apa yang menjadi persoalan bagaimana tanah seluas hampir 11,000 ekar iaitu 4, 400 hektar itu diterokai selama 40 tahun tanpa diambil tindakan oleh pihak berkuasa sehingga timbul isu berkenaan.
“Sekarang ini kita tahu hutan ini dijaga oleh jabatan hutan.. ada pengarah.. ada pegawai.. ada renjer.. takkan lah tanah seluas 11,000 ekar mereka tidak tahu perkara itu. Apa yang mereka buat.. kenapa laporan tidak dibuat dan tiada tindakan dilakukan.. sedangkan ada akta khas yang membolehkan mereka bertindak.
“Atas dasar itulah, kami tampil di SPRM melaporkan agar perkara ini disiasat.. kerana kita tahu dan nampak seolah-olah ada unsur rasuah,” katanya dalam sidang media.
Katanya, selain itu, Putra juga tidak berpuas hati dengan cara Kerajaan, setiap kali ada pencerobahan tanah sama ada tanah kerajaan atau tanah rizab hutan, penyelesaiannya diberi pada satu syarikat diselesaikan atau beri terus kepada peneroka.
“Sepatutnya 111 orang peneroka itu dikenakan tindakan dan dibawa ke mahkamah kerana melanggar akta perhutanan negara.
“Kenapa pula mereka perlu dirunding, diselesaikan dengan diberikan tanah tersebut. Mereka patut dihukum.
“Kita ada undang-undang, perlu amalkannya. Jika peneroka-peneroka ini tidak diberi tindakan, saya menyeru kepada rakyat Malaysia meneroka tanah-tanah di negara ini kerana mereka akan mendapat tanah,” ujarnya.
Hamidah berkata, tanah berkenaan di bawah Akta Perhutanan Negara yang tidak boleh diterokai sesuka hati.
“Mereka melanggar peraturan itu dan tindakan undang-undang boleh dikenakan iaitu sesiapa yang mengambil hasil hutan tanpa kebenaran, denda maksimum RM500,000 dan penjara tidak kurang satu tahun atau maksimum 20 tahun.
” Manakala di bawah Seksyen 81 pula, jika ada penerokaan iaitu membersih, membajak tanah dan menceroboh apa jua cara pun akan dikenakan denda sebanyak RM50,000.
“Tidak adil.. ada kes seorang peneroka dikenakan denda dan dua tahun penjara tapi 111 orang ini sebaliknya boleh berunding dan berjaya membawa ke mahkamah dan mendapat penanguhan sementara.
“Ini juga menyalahi undang-undang dan tak patut dipraktikkan sebuah negara berdaulat. Saya ingin mencadangkan tanah 11,000 ekar ini, kerajaan ambil balik dan diagihkan balik sebelum digantikan sebagai tanah rizab Melayu atau berikan kepada kepada bekas-bekas tentera dan polis kerana ia ada dalam peruntukan,” katanya. – Malaysiapost

