‘Dulu semua mesti hormat, sekarang tak salah derhaka’

0
2

DATUK Seri Najib Razak menempelak pihak yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) apabila menunjukkan sikap berbeza terhadap titah Yang di-Pertuan Agong.

Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian susulan laporan sebuah portal didakwa pro-PN yang memetik kenyataan dua tokoh bahawa tidak salah di bawah Perlembagaan untuk derhaka kepada raja.

“Masa YDP Agong perkenaan darurat bulan Januari lalu, semua mesti hormat kebijaksanaan institusi Raja-Raja. Siapa yang pertikai adalah penderhaka.

“Masa tidak lagi perkenaan darurat dilanjut dan Parlimen perlu bersidang segera, tak salah bawah Perlembagaan untuk derhaka,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Terdahulu hari ini, portal tersebut melaporkan konsep derhaka, atau tidak taat kepada raja tidak wujud dalam sistem undang-undang Malaysia.

Ia sebagai maklum balas berhubung dakwaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pegawai-pegawai kanan kerajaan tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram dipetik portal itu sebagai berkata tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan membicarakan “derhaka” atau tidak taat kepada raja.

Beliau berkata tidak mengikut nasihat raja bukanlah satu kesalahan.

“Perdana Menteri atau peguam negara yang menolak untuk tidak mengikut nasihat Agong tidak melakukan sebarang kesalahan.

“Bahkan, sebaliknya undang-undang Perlembagaan memerintahkan Agong untuk bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri,” katanya.

Pemikir, Chandra Muzaffar pula berkata konsep derhaka bukan sahaja bermasalah bahkan perkara yang asing dalam sistem moden perundangan seperti apa yang wujud di Malaysia, di mana kuasa-kuasa dan hak monarki dibatasi Perlembagaan negara.

“Konsep ‘derhaka’ dan amalannya sangat dipengaruhi feudalisme Melayu. Seseorang seringkali dituduh ‘menderhaka’ ketika dia tidak mengikut kehendak sultan dengan tanpa mengambil kira sama ada arahan itu mengikut etika atau tidak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here