PEMUDA Umno mendesak kerajaan khususnya Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menambahbaik pelaksanaan i-Citra.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata dasar ‘satu saiz muat untuk semua’ adalah tidak wajar, sebaliknya harus dibenarkan had pengeluaran dengan kadar lebih tinggi sehingga sekurang-kurangnya RM10,000 ke RM20,000 kepada pencarum yang ada baki simpanan RM100,000.
Katanya, kerajaan perlu membenarkan pengeluaran secara ‘lump-sum’ RM5,000 berbanding pengeluaran berkala setiap bulan.
“Kaedah begini memberi lebih ruang untuk rakyat merancang sendiri dengan terbaik bagaimana simpanan mereka dapat dibelanjakan.
“Jika masih mahu berkala, pastikan bayaran pertama lebih tinggi berbanding bayaran seterusnya.
“Sebagai contoh، sekurang-kurangnya RM2,000 bayaran pertama dibenarkan bagi membantu rakyat yang punya komitmen tertunggak bahkan amat terdesak kerana keadaan mereka lebih parah berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dahulu,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan kebenaran akses ke Akuan 1 berbanding dengan kaedah mengutamakan penggunaan Akuan 2 KWSP.
Beliau juga berharap pengeluaran i-Citra dipermudahakan tanpa perlu melalui proses permohonan dan kelulusan yang panjang.
“Sebaik-baiknya 17 Julai ini proses pengeluaran pertama dibuat secara automatik bagi mereka yang berhajat.
“Pemuda Umno amat berharap kerajaan segera ambil serius penambahbaikan ini kerana situasi dan kondisi rakyat di bawah amat mencemaskan dan membimbangkan.
“Rakyat mendambakan keikhlasan kerajaan untuk membela nasib mereka yang kesempitan sehinggakan ‘Bendera Putih’ terpaksa dikibarkan seolah-olah kehabisan ikhtiar untuk meneruskan kehidupan seharian,” ujarnya.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilaporkan berkata akan memberi keutamaan pencarum membuat pengeluaran dana simpanan Akaun 2 terlebih dahulu menerusi i-Citra bagi tujuan bayaran pinjaman rumah, perbelanjaan perubatan serta pendidikan.
Katanya, sebarang akses bagi pengeluaran Akaun 1 sebaliknya dilakukan sekiranya jumlah simpanan Akaun 2 ahli atau pemohon terbukti tidak mencukupi.
Kemudahan pengeluaran i-Citra itu merupakan kesinambungan inisiatif KWSP sebelum ini iaitu i-Sinar dan i-Lestari. – Malaysiapost

