Prestasi PM disenangi rakyat

0
3

SEBANYAK 69 peratus pengundi, berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Hasil dapatan kajian Merdeka Center antara 15 Julai hingga 10 Ogositu mendapati sembilan daripada 10 responden Melayu dan Bumiputera di Sabah serta Sarawak berpuas hati dengan kepimpinan Perdana Menteri.

Kajian itu membabitkan responden terdiri daripada 3,415 pengundi berdaftar berbilang kaum di seluruh negara, yang dihubungi Merdeka Center menerusi panggilan telefon.

Ia dibuat bagi mengetahui persepsi rakyat terhadap beberapa elemen penting termasuk aspek ekonomi, kepemimpinan dan isu semasa.

Kesemua responden dipilih secara rawak, menggunakan perincian kumpulan umur, etnik, jantina dan kawasan parlimen.

Hasil kajian itu juga menunjukkan sebanyak 65 peratus responden berketurunan India berpuas hati dengan Perdana Menteri namun hanya 33 peratus responden Cina berpuas hati dengan Muhyiddin.

Prestasi Muhyiddin itu bagaimanapun disifatkan sebagai dalam keadaan selesa dengan mengambil kira tempoh waktu pentadbiran yang singkat, iaitu selepas peralihan kuasa sejak Mac 2020.

Kajian juga mendapati, persepsi sama ditunjukkan orang ramai terhadap Kerajaan Persekutuan, dengan 58 peratus responden gembira dengan prestasi ditonjolkan, di bawah teraju Perikatan Nasional, manakala baki 28 peratus lagi sebaliknya.

Merdeka Center menarik perhatian, jurang pendapatan antara faktor yang mendorong responden tidak berpuas hati dengan kerajaan.

“Sekitar tiga suku responden dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM2,000 sebulan memberikan maklum balas positif terhadap Kerajaan Persekutuan,” kata pusat kajian itu dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, 51 peratus responden lagi merasakan bahawa negara berada di landasan tepat, di bawah jentera pentadbiran yang diterajui Perdana Menteri.

Peratusan itu agak rendah, berbanding dapatan ketika Mei tahun ini, namun masih tinggi jika dibandingkan kajian sama sepanjang enam bulan lalu. – Malaysiapost