AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengingatkan kerajaan supaya tidak menjadikan Sidang Khas Parlimen bulan ini sekadar melepaskan batuk di tangga.
Beliau berkata, ia susulan kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat termasuk Menteri Undang Undang yang memaklumkan Parlimen akan bersidang bulan ini.
“Tetapi jangan pula, agenda sidang khas itu hanya membincangkan peraturan mesyuarat atau ‘standing order’ untuk sidang parlimen akan datang?.
“Sepatutnya sidang khas Parlimen ini ialah untuk bahas dan meluluskan ‘proklamasi darurat’ seperti yang termaktub dalam Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. Jangan melepaskan batuk di tangga,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, memaklumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin iaitu sebelum 1 Ogos ini.
Beliau, berkata perkara itu akan dimuktamadkan pada Mesyuarat Jemaah Menteri Rabu lalu.
“Kerajaan Persekutuan sentiasa menjunjung titah pandangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam semua hal berkaitan pemerintahan negara termasuklah berhubung persidangan Parlimen,” katanya.
Selasa lalu, Al-Sultan Abdullah sekali lagi menzahirkan pandangan persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat dapat dibentang di Parlimen seperti termaktub dalam Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan. – Malaysiapost

