Sistem kesihatan semakin lumpuh, kerajaan disaran lebih telus

0
2
Logo projek bangsa malaysia

KERAJAAN tidak boleh lagi terus menyembunyikan perkara sebenar yang berlaku dalam sistem kesihatan negara yang dikatakan di ambang lumpuh ketika ini.

Projek Bangsa Malaysia dalam satu kenyataan hari ini mendesak kerajaan telus berhubung situasi terkini sistem kesihatan negara yang semakin genting dalam menangani pandemik Covid-19.

“Sistem kesihatan Malaysia berada di ambang kehancuran, mengapa kerajaan masih berpeluk tubuh?

“Ketika India menghadapi tahap krisis terbesar menghadapi wabak Covid-19, seluruh dunia sedar akan kepentingan ketelusan dalam pengendalian masalah ini.

“Ketelusan mengenai betapa seriusnya masalah dihadapi akhirnya memastikan kerajaan India memandang serius masalah ini, seterusnya mendapatkan sejumlah bantuan yang amat diperlukan.

“Ini adalah bagaimana India cuba untuk pulih dan seterusnya mengelakkan keruntuhan total sistem kesihatannya,” kata kenyataan itu.

Projek Bangsa Malaysia adalah usaha sama dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Projek Wawasan Rakyat (POWR).

Menurut kenyataan itu lagi, langkah pertama untuk menyelesaikan masalah adalah dengan mengakui bahawa ia wujud namun di Malaysia pihak berkuasa seolah masih tidak mengakui masalah yang dihadapi.

Katanya, budaya yang wujud selama puluhan tahun yang menyekat kebenaran, kini membahayakan jutaan nyawa rakyat Malaysia.

“Kerajaan secara konsisten membungkam suara penjawat awam, termasuk petugas barisan hadapan kesihatan, dan menghalang mereka daripada mendedahkan betapa parahnya situasi sebenar yang kita hadapi.

“Di mana sebelum ini, petugas barisan hadapan kesihatan enggan bersuara kerana mungkin dikhuatiri akan diambil tindakan,” katanya.

Bagaimanapun, situasi yang semakin kritikal sekarang menyebabkan perkara yang berlaku tidak boleh ditutup lagi oleh mereka yang setiap hari berhadapan dengannya hingga muncul cerita kurang enak dan membimbangkan perihal sistem kesihatan negara di media sosial.

“Namun sekarang ramai sanggup mengambil risiko dan bersuara sebelum lebih banyak nyawa yang hilang akibat keruntuhan penuh sistem penjagaan kesihatan kita.

“Semakin banyak laporan kini muncul mengenai bagaimana hospital kerajaan Covid-19 semakin terbeban, dan tidak mampu memberi pesakit Covid-19 rawatan yang diperlukan.

“Sumber tidak mencukupi dan kepenatan kakitangan perubatan berada pada tahap amat membimbangkan,” katanya.

Tambah membimbangkan, Projek Bangsa Malaysia menjelaskan, terdapat laporan mengenai kekurangan oksigen dan tempat tidur yang tidak mencukupi, kakitangan senior yang tertekan, CPR yang dilakukan di lantai dan pesakit yang sesak nafas terpaksa menunggu di luar Jabatan Kecemasan. – Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here