Anggota polis antara 2 maut motosikal bertembung

0
2
grafik

DUA lelaki termasuk seorang anggota polis maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung di Jalan Padang Kala, Jalan Kota Bharu – Kuala Terengganu, berdekatan Peringat, hari ini.

Nahas kira-kira jam 1 tengah hari itu menyebabkan Sarjan Zulkifli Ab Rahman, 58, dan Mohd Muslimin Mat Sin, 32, maut di tempat kejadian, lapor Berita Harian.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata nahas berlaku apabila Mohd Muslimin yang menunggang motosikal Honda EX-5 dipercayai dari arah bertentangan, secara tiba-tiba membuat pusingan U.

Katanya, akibat jarak terlalu hampir, anggota polis yang menunggang Kawasaki Versys 650 dari arah Peringat menghala ke Melor, tidak sempat mengelak dan berlaku pertembungan.

“Kedua-dua mangsa cedera parah di muka, kepala dan dada dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan,” katanya menurut laporan tersebut.

Beliau berkata, anggota polis itu bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis (IPD) Pasir Mas dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas selesai bertugas.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk bedah siasat.

“Kita minta saksi yang berada di tempat kejadian tampil untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here