SD tak relevan, ada MP tandatangan lebih satu SD

0
2

KETUA Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor Isham Jalil menyifatkan tandatangan akuan bersumpah atau statutory declarstion (SD) tidak lagi relevan dan boleh dipercayai.

Ini kerana beliau mendakwa terdapat beberapa Ahli Parlimen yang telah menandatangani dua SD dengan menyatakan pendirian menyokong dua pihak dalam satu masa.

“Sebelum ini saya telah kata yang tandatangan akuan bersumpah atau statutory declaration tidaklah boleh dipercayai sangat kini kerana ahli-ahli Parlimen tidak terkekang untuk tandatangan hanya satu SD.

“Oleh itu, SD sokongan mereka untuk satu orang tidak bermakna mereka menolak orang lain, kerana ada kemungkinan ahli-ahli Parlimen ini menyokong beberapa orang.

“Hari ini seorang ahli Parlimen telah mengaku dia telah tandatangan dua SD, satu kepada Anwar (Ibrahim) dan satu kepada Hishammuddin (Hussein),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas mengenainya, Isham percaya perkara itu tidak mustahil berlaku dan kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang rapuh hanya sesuai disahkan menerusi persidangan Dewan Rakyat.

“Tidak mustahil beberapa ahli Parlimen telah tandatangan beberapa SD termasuklah SD sokongan kepada Muhyiddin.

“Sebab itu dari dulu saya gesa supaya Parlimen dibuka, supaya pertama masalah rakyat dan cadangan penyelesaian serta semak imbang dapat dibincangkan dengan lebih telus.

“Dan kedua supaya keabsahan Perdana Menteri dapat ditentukan sebelum dia boleh menggunakan peruntukan undang-undang dan kewangan negara sebagai Perdana Menteri yang sah,” katanya.

Isham menambah, jumlah SD tidak dapat menggambarkan sokongan sebenar yang diterima sesuatu pihak.

“Ia tidak menggambarkan sokongan majoriti sebenar, maka penentuan sokongan perlu dilakukan di dalam Dewan Rakyat sama ada melalui undi rahsia mahupun terbuka, dan ia perlu dilakukan secara berasingan (secara individu).

“Untuk penentuan ini, Speaker Dewan tidak perlu meluluskan usul undi percaya atau tidak percaya untuk ahli-ahli Parlimen mengundi, ini kerana apabila Parlimen dibuka, perkara pertama yang perlu dibentang, dibahas dan diundi adalah usul Ordinan Darurat 2021,” katanya.

Katanya lagi, jika sebarang usul tidak diluluskan dan Perdana Menteri kalah di Dewan Rakyat dalam meluluskan sesuatu usul, ia menunjukkan bahawa beliau telah hilang majoriti.

“Apabila ini berlaku, Perdana Menteri perlu meletak jawatan dan menghadap Agong dan serah kepada budi bicara baginda untuk langkah seterusnya.

“Rakyat kini sedang sengsara dan negara sedang sakit.

“Jika kita perlu tukar Perdana Menteri untuk menukar dasar-dasar yang gagal oleh kerajaan kepada dasar dan keputusan yang lebih baik supaya ia dapat mengurangkan kesengsaraan rakyat, maka ia harus dibuat,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here