HASRAT wanita berusia 96 tahun dari Kampung Pasir Raja di pedalaman daerah Dungun untuk menerima vaksin Covid-19, tercapai hari ini.
Warga emas itu, Munah Adam atau Tok Munah sebelum ini dilaporkan akhbar menyatakan hajat untuk segera divaksin kerana rindu mahu berjumpa cucu dan cicit yang telah lama tidak ditemui akibat pandemik Covid-19.
“Tok (nenek) nak sangat cocok (suntik) vaksin ni cepat-cepat. Tok rindu nak jumpa cucu-cicit. Bila cocok ni kita rasa selamat jumpa siapa sahaja,” katanya seperti dilapor media semalam.

Berita mengenai wanita tersebut mendapat perhatian Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim yang menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.
Menerusi perkongsian di Facebooknya, Ahmad Amzad berkata beliau seterusnya meminta agar suntikan segera diberikan kepada warga emas tersebut.
“Pada hari ini, pegawai dari Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Dungun, Azadi Rosli bersama kakitangan Pejabat Tanah dan Daerah Dungun telah ke Kampung Pasir Raja untuk menemui Tok Munah.
“Dia kemudian dibawa ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin untuk menerima suntikan vaksin Covid-19,” katanya.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu, Kampung Pasir Raja berada di pedalaman daerah Dungun yang memerlukan kira-kira sejam lebih perjalanan untuk ke PPV paling hampir iaitu PPV Kampus UiTM Dungun dan PPV Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin.
“Kesukaran ini menyebabkan penduduk di kampung ini agak lambat menerima vaksin.
“Bagi mengatasi masalah tersebut, CITF Dungun telah merancang program Mobile Vaccination sebagai salah satu kaedah pemberian vaksin di pedalaman Dungun seperti di Kampung Pasir Raja,” katanya. – Malaysiapost

