KADAR penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Lembah Klang bagi merawat pesakit Covid-19 sudah mencapai lebih 85 peratus, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba.
Beliau berkata, pada masa ini terdapat peningkatan bilangan pesakit Covid-19 kategori 3 dan 5 yang hadir atau dirujuk ke Jabatan Kecemasan dan Trauma serta ICU khususnya di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Katanya, daripada keseluruhan kes Covid-19 yang dikendalikan HKL, sebanyak 71 peratus adalah pesakit kategori 3 dan 5 manakala bakinya pesakit kategori 1 dan 2.
“Berdasarkan rekod terkini, Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL menerima antara 60 hingga 70 orang pesakit Covid-19 dalam tempoh sehari dengan purata tiga pesakit kategori 4 dan 5 yang memerlukan bantuan alat pernafasan dan bagi pesakit kategori 5 perlu dirawat di ICU,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, HKL adalah hospital rujukan berstatus Hibrid Covid-19 yang menerima pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19 di Jabatan Kecemasan dan Trauma serta ICU.
“Jumlah kedatangan dan rujukan pesakit ke Jabatan Kecemasan dan Trauma yang tinggi ditangani dengan penyediaan dan penggunaan katil tambahan oleh pengurusan HKL.
“Manakala pesakit Covid-19 yang telah stabil dipindahkan ke Hospital Rehabilitasi Cheras dan Institut Perubatan Respiratory bagi membolehkan HKL menerima dan merawat segera pesakit,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, jumlah kedatangan atau rujukan pesakit Covid-19 yang semakin meningkat ke hospital KKM di Lembah Klang juga ditangani dengan kerjasama Hospital Sungai Buloh yang kini berstatus Hospital Covid-19.
“Manakala Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di MAEPS turut mengendalikan sementara pesakit Covid-19 hingga kategori 4 sebelum dipindahkan ke hospital.
“KKM juga berkerjasama dengan Hospital Pakar Kanak-kanak UKM, Hospital Universiti Putra Malaysia dan Hospital Universiti Teknologi MARA serta Hospital Angkatan Tentera Malaysia untuk menerima dan merawat kes pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

