AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman memberi jaminan beliau akan terus membantu menyumbangkan peranti tablet untuk kegunaan pelajar di kawasan Parlimennya.
Beliau berkata, bantuan disalurkan tanpa mengira sama ada pelajar yang dibantu adalah penyokong Manchester United, Chelsea mahupun Arsenal.
“Drop off sekejap hantar tablet. Minat Man U ke, Chelsea ke, Arsenal ke, semua pelajar Muar saya cuba bantu.
“Yang penting, belajar sungguh-sungguh dan jaga ibu bapa,” katanya menerusi ciapan di Twitternya hari ini.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut berkongsi video beliau menyerahkan tablet kepada seorang pelajar yang memakai baju Manchester United.
Beliau berkata masih ramai pelajar di Muar yang mahu belajar tetapi kurang berkemampuan.
Justeru Syed Saddiq mengajak orang ramai untuk sama-sama membantu bagi membolehkan semua pelajar di kawasan Parlimen tersebut mempunyai kelengkapan untuk belajar ketika tempoh pandemik ini. – Malaysiapost
Sumber foto: TW/Syed Saddiq

