Kenyataan Nik Zawawi menifestasi rasis PN, MN, BN

0
3

Fitri Nizam

KENYATAAN Ahli Parlimen Pasir Putih, Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa tidak sensitif terhadap penganut agama Kristian adalah menifestasi pendekatan rasis parti dalam Perikatan Nasional (PN), Muafakat Nasional (MN) dan Barisan Nasional (BN).

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Dr Abdul Aziz Bari, berkata kenyataan itu jelas meletakkan parti rakan mereka dari Sabah dan Sarawak dalam keadaan terkedu serta serba salah.

“Lebih parah, kenyataan itu juga adalah bukti betapa kerajaan pintu belakang PN tiada hala tuju yang jelas khususnya tentang hubungan rakyat pelbagai agama dan kaum.

“Kontroversi yang timbul dari komen cuai Ahli Parlimen PAS itu adalah satu lagi bukti betapa PAS khususnya dan PN amnya tidak sesuai menerajui masyarakat majmuk di Malaysia,” katanya.

Justeru, beliau berkata PAS dan PN perlu ditolak dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pada 26 Ogos lalu, ketika membahaskam Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (apindaan) 2020 di Dewan Rakyat, Nik Zawawi dilaporkan berkata tiada agama membenarkan penganutnya meminum arak.

Perbahasannya itu kemudian dicelah Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) yang mengatakan bahawa kenyataan Nik Zawawi itu tidak tepat namun Ahli Parlimen PAS itu tetap mempertahankan kenyataannya. -Malaysiapost