SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta memberi penjelasan mengenai dakwaan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng cuba dihalang memasuki Sabah atas nasihat agensi itu kepada Jabatan Imigresen, malam tadi.
Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Darell Leiking, berkata jika dakwaan Guan Eng itu benar, ia adalah sesuatu yang mengejutkan kerana bidang kuasa Imigresen Sabah terletak di bawah kerajaan negeri.
Ahli Parlimen Penampang itu berkata, hanya kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk menghalang atau tidak seseorang yang ingin masuk ke Sabah atas alasan tertentu.
“Saya ada bercakap dengan YB Lim Guan Eng menerusi telefon pagi ini dan dia dalam keadaan baik dan selamat di Sabah.
“Agak malang apabila dia hendak menerima pas lawatan sosialnya, tiba-tiba pasnya hampir dibatalkan dengan alasan yang tidak masuk akal, dia diberitahu secara lisan bahawa SPRM menasihatkan Imigresen tidak membenarkan Guan Eng masuk ke Sabah. Ia sangat mengejutkan.
“Kuasa memberi pas lawatan sosial ke Sabah terletak di tangan kerajaan negeri dan jika apa yang Guan Eng cakap mengenai SPRM campur tangan untuk menghalang beliau masuk ke Sabah adalah betul, maka pencerobohan ke atas kuasa negeri dalam aspek imigresen oleh SPRM hampir berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sebagai mengulas dakwaan Guan Eng yang hampir dihalang memasuki Sabah oleh Jabatan Imigresen atas nasihat SPRM ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), malam tadi.
Sehubungan itu, Darell meminta agar SPRM memberikan penjelasan sama ada perkara itu benar atau tidak.
“Apapun, tidak sepatutnya ada sebarang isu untuk Guan Eng masuk ke Sabah,” katanya.
Menerusi hantaran Guan Eng dalam laman Facebooknya, beliau mendakwa dipanggil seorang pegawai Imigresen ketika mahu meninggalkan KKIA dan dibawa ke Pejabat Imigresen.
Selepas menunggu 20 minit, beliau bertanya apa masalah sebenarnya sebelum dimaklumkan bahawa SPRM meletakkan halangan kepadanya untuk masuk ke Sabah. -Malaysiapost

