AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengumumkan kembali sokongannya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, pengisytiharan terbaharu itu sekali gus membatalkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin yang dibuatnya pada Januari lalu.
“Januari lalu saya membuat pengumuman menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin. Hari ini saya nak umumkan saya kembali memberi sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin.
“Dengan keputusan ini, penarikan sokongan yang saya buat sebelum ini terbatal,” katanya seperti dilapor AstroAwani,hari ini.
Sebelum ini, Mohamed Nazri adalah antara ahli politik yang lantang mengkritik kepimpinan parti Umno dan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin.
Baru-baru ini, beliau mengakui menjadi perancang utama dalam mengumpul akuan bersumpah (SD) di kalangan Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bagi menyokong Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Katanya, tindakan itu adalah bagi memberi mandat kepada Menteri Luar itu untuk menjadi jurucakap kepada kesemua 25 wakil rakyat BN sekiranya dipanggil mengadap Yang di-Pertuan Agong.
Ditanya kenapa beliau melawan arus menentang Ahmad Zahid, Mohamed Nazri menjelaskan beliau telah hilang kepercayaan kepada Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sebagai peneraju parti.
Mohamed Nazri menjelaskan kepercayaannya kepada Ahmad Zahid mula terhakis susulan dua peristiwa yang melibatkan kerjasama dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Setiap apa yang saya buat ada sebab, apabila dapat berita bahawa Yang di Pertuan Agong akan berjumpa setiap ketua parti politik, saya dah tak percaya kepada Zahid.
“Sebab apa? Sebab pada Oktober tahun lalu, waktu Anwar Ibrahim kata dia ada ‘formidable majority’, bukan majoriti yang simple, tak apalah saya pun tak tahu mana dia dapat.
Pada awal tahun, Mohammed Nazri mendakwa beliau ditipu oleh Zahid sehingga membuat keputusan untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin.
“Saya tarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin pada 12 Januari lalu kerana ditipu oleh Zahid yang merancang untuk menjatuhkan kerajaan.
“Zahid rancang, Ahli Parlimen Umno yang tidak pegang jawatan dalam kerajaan tarik sokongan one by one, hingga kerajaan ini jatuh.
“Sebagai tanda setiakawan dan percaya kepada beliau, saya menarik sokongan selepas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob membuat keputusan yang sama.
“Selepas saya dan Jazlan, tiada siapa yang umum tarik sokongan termasuklah Zahid. Sebagai presiden parti yang merancang semuanya, sepatutnya dia yang pertama tarik sokongan,” katanya. – Malaysiapost

