Diskaun TNB beri kelegaan pada ketua keluarga – Pemuda PN

0
1

DISKAUN yang diumumkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) dapat membantu kira-kira 7.4 juta pengguna domestik dengan potongan antara lima hingga 40 peratus.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Khairil Nizam Khirudin berkata, menerusi diskaun yang diumumkan TNB itu juga meliputi 1.6 juta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah kategori voltan rendah akan memperolehi 5 peratus diskaun.

“Saya percaya diskaun ini sedikit sebanyak akan memberikan kelegaan kepada ketua keluarga yang semakin runsing dengan jumlah bil elektrik yang meningkat mendadak semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan.

“Pemuda PAS dan Pemuda PN telah beberapa kali berusaha menyampaikan hasrat kita semua kepada pihak kerajaan dan TNB khususnya agar diskaun ini dapat diberikan bagi meringankan tanggungan setiap bulan terutamanya semasa kita semua berada di rumah.

“Alhamdulillah, suara kami sentiasa diberikan pertimbangan oleh kerajaan dan juga syarikat berkaitan kerajaan,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Terdahulu, TNB mengumumkan kenaikan tarif elektrik hingga hujung tahun ini dan semua pemilik akaun yang dianggarkan seramai 9.44 juta pengguna akan terus menikmati rebat elektrik sebanyak 2.00 sen/kWj bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2021.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dilaporkan berkata ia mengambil kira cabaran dan kesukaran dihadapi rakyat berikutan PKP bagi mengekang penularan Covid-19, kerajaan telah bersetuju untuk membiayai pemberian rebat tambahan.

Menurutnya, rebat tambahan itu adalah sebanyak 0.87 sen/kWj yang membabitkan peruntukan RM493 juta melalui dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).

Sementara itu, Khairil Nizam berkata, bagi kategori perindustrian, pertanian spesifik, komersial (perdagangan) oleh pengguna PKS pula akan menerima diskaun sebanyak lima peratus manakala kategori Komersial (Perdagangan) oleh enam sektor perniagaan terpilih akan mendapat diskaun sebanyak 10 peratus.

Katanya, enam sektor tersebut akan dikenalpasti oleh pihak kerajaan melibatkan pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat membeli belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan, dan agensi pelancongan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here