AIM tangguh sebulan lagi bayaran balik pinjaman – Lajim Ukin

0
2
KOTA KINABALU 21 SEPTEMBER 2017. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias, Datuk Lajim Ukin. NSTP/MALAI ROSMAH TUAH

AMANAH Ikhtiar Malaysia (AIM) menangguhkan bayaran balik pinjaman membabitkan 378,507 peminjam di seluruh negara selama sebulan lagi hingga akhir bulan ini.

Pengerusi Eksekutif AIM, Datuk Seri Lajim Ukin, berkata penangguhan itu selaras keputusan kerajaan melaksanakan Fasa Pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 29 Jun lalu.

Menurutnya, dengan peminjam atau Sahabat AIM sudah menikmati pengecualian bayaran pada Jun lalu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 hingga 28 Jun lalu.

Katanya, lanjutan penangguhan itu membabitkan bayaran balik pinjaman berjumlah kira-kira RM384 juta.

“Selain penangguhan bayaran balik pinjaman, semua mesyuarat pusat, perjumpaan pusat khas dan kutipan bagi Skim Pembiayaan Ikhtiar, Simpanan Tabung Kumpulan, Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat (TKKS) serta Tabung Khairat Hutang turut ditangguhkan.

“AIM juga menangguhkan pembentangan permohonan bagi Skim Pembiayaan Ikhtiar, pengeluaran Tabung Kumpulan, tuntutan Tabung Khairat Hutang, penjadualan semula pembiayaan dan pembentangan untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kutipan balik bayaran Skim Pembiayaan Ikhtiar melalui kaedah bukan tunai atau e-bayaran adalah dibenarkan.

Sementara itu, beliau berkata AIM turut memperkenalkan lapan Pakej Rangsangan Ekonomi AIM, selain menyediakan pelbagai insentif lain termasuk penangguhan tambahan, program kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan dan bengkel atau kursus secara digital untuk Sahabat AIM.

“Bagi memastikan kebajikan Sahabat AIM terbela, AIM juga memberi bantuan bekalan makanan asas yang setakat ini memberi manfaat kepada 20,700 keluarga menerusi Program Bakul Kasih AIM.

“AIM amat prihatin terhadap kesusahan dialami Sahabat AIM dan kita berusaha melaksanakan program pasaran produk Sahabat AIM secara dalam talian supaya dapat menjangkau pasaran lebih luas dan mereka dapat terus berniaga tanpa melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, AIM juga sedang merangka pelan pemulihan pendapatan Sahabat AIM bagi membantu mereka bangkit semula daripada situasi sukar sepanjang PKP. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here