Guan Eng dakwa ada cubaan halangnya masuk Sabah

0
3

Fitri Nizam

BEKAS Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyatakan rasa tidak puas hati apabila mendakwa ada cubaan menghalangnya untuk masuk ke Sabah.

Dalam satu kemaskini di Facebook, Guan Eng berkata, beliau masuk ke Sabah menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kinabalu sebelum diberikan pas lawatan sosial pada jam 11.54 malam.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bagan itu mendakwa ketika sudah hampir masuk ke dalam kereta, beliau didatangi seorang pegawai imigresen yang memintanya masuk semula ke pejabat imigresen.

“Selepas menunggu 20 minit, saya tanya apa masalahnya? Mereka mendakwa bahawa SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) telah meletakkan halangan untuk saya masuk ke Sabah.

“Bukankah ini kuasa kerajaan negeri Sabah?

“(Datuk Seri) Najib Razak yang didapati bersalah dan telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun, denda RM210 juta boleh masuk tanpa masalah. (Datuk Seri Ahmad) Zahid Hamidi yang sedang berdepan kes mahkamah pun boleh masuk tanpa masalah,” katanya.

Setiausaha Agung DAP itu mempersoalkan cubaan menghalangnya masuk ke Sabah dengan mendakwa ia adalah satu lagi kes antara dua darjat.

“Sedangkan ini kuasa kerajaan negeri dan bukan kuasa kerajaan pusat. Adakah ini satu lagi usaha campur tangan pusat terhadap hak dan kuasa negeri?,” soalnya.

Bagaimanapun, selepas setengah jam, beliau dibenarkan masuk semula ke Sabah.

“Takpe lah, nanti saya akan tanya Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal, adakah beliau tak mau saya masuk Sabah?,” katanya. – Malaysiapost