PENDAKWAH, Ebit Lew menzahirkan rasa terharunya setelah dianugerahkan sebagai Duta Muhibbah Palestin atau ‘Palestine Goodwill Ambassador hari ini.
Beliau yang dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza memaklumkan dijemput menghadiri mesyuarat bersama Menteri dan Timbalan Menteri dari Kementerian Luar Palestin, Kementerian Pembangunan Palestin serta Kementerian Kebudayaan dan Belia Palestin.
“Mereka menyambut dan melayan dengan sangat. Terharu rasa. Allahuakbar. Kita cuma orang kecil dan bukan sesiapapun. Cuma niat nak menolong sahaja. Kami berbincang untuk program-program di Palestin di masa akan datang.
“Saya bersetuju bekerjasama dengan kementerian luar projek – Cultural Exhibition Of Heroism and Sacrifice,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Ebit berkata, kerjasama tersebut terjalin demi kemaslahat anak remaja di Palestin.
Beliau juga menzahirkan rasa sedih dengan situasi negara itu di mana banyak nyawa yang terkorban termasuk anak kecil dan bangunan musnah diletupkan.
“Jadi, ini bina satu tempat untuk mengingat hati diri mereka.
“Semoga menjadi asbab kebaikan. Terima kasih kerajaan Palestin. Terima kasih Kementerian Luar Palestin dan semua rakyat Palestin. Terasa bagai semua keluarga. Terima kasih doa semua rakyat Malaysia,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Ebit juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Wisma Putra dan Kedutaan Besar Malaysia di Mesir. – Malaysiapost

